comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jangan layan SMS tidak sah, elak jadi mangsa scammer – Penganalisis jenayah

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melayan sebarang info atau pesanan yang disebarkan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) supaya tidak menjadi mangsa scammer.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata memandangkan scammer ada pelbagai dalam memerangkap mangsanya; tindakan utama yang boleh dilakukan oleh pengguna untuk elak daripada ditipu adalah tidak melayan sebarang bentuk SMS yang diterima mereka.

Katanya, ini termasuk mesej melalui SMS, daripada platform Whatsapp, Telegram atau pelbagai lagi.

“Nasihat saya adalah apa jua tawaran yang kita tidak tahu atau tidak pasti, kita perlu hubungi pihak berkuasa terlebih dahulu untuk sahkan adakah ianya betul atau sebaliknya dan dari situ kita perlu terima dan dengar arahan-arahan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) melaporkan mengesan taktik penipuan melalui SMS yang didapati kembali aktif sejak awal tahun ini.

Setakat ini, 18 kes dilaporkan berlaku dengan nilai kerugian RM229,868 sejak 1 Januari hingga 14 April lalu, yang menyasarkan mangsa melalui penghantaran SMS menerusi telefon bimbit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata statistik setakat 17 April itu mendapati mangsa dilaporkan menerima SMS kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal seperti Maxis, Celcom dan Digi.

“Kandungan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa segera menebus mata ganjaran tersebut melalui pautan disertakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sahul berkata orang ramai juga perlu menghubungi pihak telekomunikasi yang didedahkan menerusi sesuatu chat terlebih dahulu untuk sahkan segala maklumat yang diterima.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) perlu bekerjasama dengan syarikat rangkaian telekomunikasi serta pihak perbankan bagi membendung masalah scammer yang dilakukan melalui  SMS.

Katanya, kerjasama ini sangat penting kerana masalah scammer ini bukan hanya berkait rapat dengan pihak telekomunikasi namun juga membabitkan perbankan kerana scammer akan menggunakan akaun pelanggan.

“Saya percaya dengan langkah ini, ia akan menggurangkan jenayah scammer ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini