comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kaki pecah tabung diberkas

Chien Chunng Tsaur (dua kanan) menunjukkan barangan yang dirampas polis ketika sidang media di IPD Kubang Pasu, hari ini.

JITRA: Susulan tangkapan dua suspek minggu lalu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah tabung masjid, kilang dan rumah sekitar Kubang Pasu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chungg Tsaur, berkata suspek pertama ditahan susulan laporan dibuat jemaah Masjid Al Hidayah Taman Pasu di sini pada 5.45 pagi pada 18 Jun lalu.

Kes turut membabitkan pecah dan melarikan tabung masjid di Masjid Al Aqla pada Ramadan lalu sewaktu jemaah hendak menunaikan solat Subuh.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu melakukan risikan dan operasi memburu suspek.

“Hasilnya, suspek berusia 29 tahun itu berjaya ditahan pada 12 tengah hari, hari yang sama di sebuah rumah di Taman Sri Aman di sini, ” katanya dalam sidang media di IPD Kubang Pasu hari ini.

Katanya, polis turut merampas beberapa barangan milik suspek termasuk motosikal, buku cek bank, beg mengandungi anak kunci, pemutar skru, sebatang tukul besi, telekung wanita, kain pelekat, sehelai baju hujan, pemotong besi dan laptop.

“Semakan mendapati suspek terbabit dalam lapan kes pecah tabung masjid dan rumah di daerah ini.

“Daripada soal siasat yang dijalankan kami berjaya mengesan dan menahan rakannya berusia 37 tahun yang dipercayai bertindak sebagai “transporter” di Jalan Ibrahim, pada hari sama,” katanya.

Jelasnya lagi, suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah namun suspek kedua mempunyai 15 rekod jenayah lampau dan dadah serta dua kes dikehendaki polis.

“Hasil ujian saringan mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 28 Jun ini di lokap Balai Polis Jitra dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Loading...
Terkini