comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kamera tersembunyi di bilik persalinan: 11 dirakam keterangan

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner, Noor Dellhan Yahaya. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 11 individu sudah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan rakaman kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli-belah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, semua individu terbabit terdiri daripada kakitangan premis dan pekerja penyelenggara bangunan.

“Setakat ini polis juga menerima satu laporan daripada mangsa berhubung rakaman video dia menukar pakaian.

“Daripada laporan itu, kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab memasang kamera tersembunyi,” katanya ketika ditemui pada Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Noor Dellhan berkata, setakat ini, polis mengenalpasti empat video yang tersebar di media sosial.

“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga memaklumkan pemilik Twitter yang menyebarkan video berkenaan gagal dikesan.

“Polis kini masih menunggu laporan daripada CyberSecurity Malaysia bagi mengesahkan ketulenan video terbabit. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 11 Januari lalu, polis menerima laporan berkaitan video tular yang memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli-belah.

Sebelum ini, beberapa klip video tular di media sosial memaparkan pelanggan menukar pakaian. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini