comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kanak-Kanak 3 Tahun Maut Dipercayai Didera Pengasuh

 

 

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan, maut dipercayai didera ketika di bawah jagaan kenalan bapa serta pembantu rumah lelaki itu, semalam.

Pembantu rumah wanita yang juga warga asing sudah ditahan semalam.

Namun, seorang lagi suspek kenalan bapa mangsa yang diamanahkan menjaga kanak-kanak itu pula ditahan sepasukan polis di kediaman lelaki itu di Skudai, di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek lelaki yang berusia 28 tahun yang juga seorang peniaga itu adalah kenalan bapa mangsa, yang diupah menjaga dua anaknya.

Manakala, katanya, seorang lagi suspek adalah pembantu rumah wanita warga asing berusia 40 tahun yang bekerja dengan suspek lelaki berkenaan.

“Bapa mangsa bekerja di Singapura bergegas pulang apabila suspek menghubunginya dan memaklumkan anak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan meninggal dunia di bawah jagaannya.

“Bapa mangsa membuat laporan polis sebaik tiba dari Singapura sebelum sepasukan polis menyerbu rumah suspek malam semalam. Hasil siasatan lanjut, rakan lelaki bapa mangsa juga turut ditahan malam ini.

“Pemeriksaan awal terhadap tubuh kanak-kanak lelaki itu mendapati ada kesan lebam. Mayat kanak-kanak itu akan menjalani bedah siasat esok bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan rumah suspek, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, suspek diupah menjaga dua anak mangsa iaitu yang kanak-kanak yang meninggal dunia itu serta adik perempuannya yang berusia setahun, dengan bayaran RM2,800 sebulan, manakala isteri mangsa pula bekerja di Yong Peng, Batu Pahat.

Katanya, polis sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah suspek selain merampas beberapa barang kes bagi siasatan lanjut.

“Menerusi pemeriksaan polis mendapati suspek lelaki turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah.

“Polis beri jaminan akan menyiasat segala aspek bagi memastikan dalang yang menyebabkan kematian kanak-kanak malang itu dibawa ke mula pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan direman esok dan disiasat kerana membunuh. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini