comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kastam Rampas Arak Tanpa Cukai Bernilai RM2.8 juta

Oleh Mohd Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU : Jabatan Kastam Negeri Johor memberkas tiga lelaki tempatan dan merampas lebih 192,000 tin dan botol arak dipercayai diseludup dalam enam siri serbuan sekitar Johor Bahru dan Selangor antara 6 Jun hingga 2 Ogos lalu.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, nilai cukai bagi barangan berkenaan yang gagal dijelaskan dianggarkan lebih RM2.8 juta.

Katanya, tiga lelaki berusia antara 32 hingga 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas bertindak sebagai wakil pengimport dan ejen penghantar.

“Hasil siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup minuman keras yang disembunyikan di bahagian tengah kontena bersama barang dagangan yang lain, selain daripada itu pengimport juga membuat pengikraran yang tidak benar di dalam borang kastam 1 bk1 bagi mengaburi mata pihak berkuasa” beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Johor, di Johor Bahru, pagi tadi.

Ujarnya, minuman keras berkenaan dipercayai dibawa masuk dari China.

Barangan berkenaan gagal diikrarkan dengan pihak Kastam untuk mengelak dikenakan cukai.

Pada sidang media itu beliau turut memaklumkan, dalam serbuan yang sama pada 31 Julai lalu di Kawasan Perindustrian Air Hitam, Klang Selangor pihaknya turut merampas 33 ribu 600 batang rokok pelbagai jenama membabitkan cukai bernilai 22 ribu 600 ringgit.

Jabatan Kastam Negeri Johor merampas lebih 192,000 tin dan botol arak seludup.

Dalam satu serbuan berasingan pada 15 Julai lalu, Kastam Johor juga berjaya membongkar kegiatan empat lelaki warga Yaman dan Bangladesh berusia 22 hingga 44 tahun kerana menjual  air zam zam palsu.

Serbuan dilakukan di sebuah premis yang dijadikan tempat pembungkusan air zam zam di Senai hasil maklumat awam.

Sazali berkata, semua kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 135 kurungan satu, Akta Kastam 1967 dan Seksyen 13 kurungan 5,  Akta Cukai Jualan 2018.

Loading...
Terkini