comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor, MOTAC bincang hala tuju promosi Tahun Melawat Johor 2026

FOTO: Onn Hafiz Ghazi / Facebook

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengadakan perbincangan terperinci mengenai hala tuju dalam mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sebanyak RM67.6 juta diperuntukkan bagi penambahbaikan infrastruktur dan penganjuran acara pelancongan bertaraf antarabangsa, menerusi Belanjawan Johor 2024.

Beliau berkata pelbagai usaha dan perancangan sedang giat dilaksanakan dalam merealisasikan sasaran kedatangan 12 juta pelancong domestik serta antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026, dapat dicapai.

“Semoga jalinan kerjasama di antara kerajaan negeri dan MOTAC serta agensi berkaitan dapat menjadikan Johor sebagai sebuah destinasi pelancongan utama negara. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada MOTAC kerana memilih Forest City, Gelang Patah, dekat sini sebagai lokasi penganjuran ASEAN Tourism Forum yang akan diadakan pada 19 hingga 25 Jan 2025.

“Acara berprestij yang melibatkan semua menteri pelancongan ASEAN ditambah dengan kehadiran negara China itu telah dibincangkan ketika perjumpaan dengan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing sempena lawatan kerja beliau serta pasukannya di Johor,” katanya.

Turut hadir pada perjumpaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri K.Raven Kumar serta Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini