comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Lebih 1,000 beri penghormatan terakhir buat Komander Muhammad Firdaus

Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang. – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Lebih 1,000 jemaah di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar menunaikan solat jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Muhammad Firdaus Ramli yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak, semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhammad Firdaus, 44, tiba dari Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Ipoh, Perak pada 7.40 malam, dengan orang ramai sudah membanjiri pekarangan masjid sejak 5 petang.

Jenazah Allahyarham sekali lagi diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM dan kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar yang terletak bersebelahan masjid pada 8.50 malam dan diakhiri dengan bacaan tahlil serta doa.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran ahli keluarga, rakan setugas, sahabat handai dan penduduk setempat untuk menziarahi serta mengiringi perjalanan pulang Muhammad Firdaus ke negeri abadi.

Terdahulu, isteri Allahyarham, Soffiah Sadon, 42, sambil mendukung anak tunggal, mereka Muhammad Anas Muhammad Firdaus, 4, kelihatan menitiskan air mata ketika menerima dan mengucup Jalur Gemilang yang menutupi keranda suaminya selepas istiadat pengebumian berakhir.

Allahyarham Muhammad Firdaus yang bertugas di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah merupakan anak sulung daripada tujuh beradik.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM termasuk Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman selain Exco kerajaan negeri.

Loading...
Terkini