comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kerja sambilan tak dapat, RM118,000 lesap 

KUANTAN: Seorang penjawat awam di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam IPTA di sini, kerugian RM118,767.49 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, wanita berusia 22 tahun itu mengenali seorang wanita di aplikasi Instagram pada 23 Julai lalu.

Katanya, suspek kemudian menunjukkan satu tugasan yang tidak dapat diselesaikan dan menawarkan kepada mangsa untuk menyelesaikannya serta berhubung menerusi nombor telefon yang diberi untuk mendapatkan bayaran yang lumayan.

“Selepas berbincang dalam talian bersama suspek, mangsa berminat dengan tawaran kerja iaitu mangsa diberikan satu pautan untuk tangkapan skrin barangan dan menghantar kepada suspek.

“Mangsa juga diminta membuat pemindahan wang mengikut harga barang untuk menebus keuntungan.

Mangsa membuat dua tugasan yang diberi oleh suspek dan mendapat keuntungan sebanyak RM47.

“Dengan keuntungan itu, mangsa mula percaya dan membuat 20 pindahan wang kepada 11 akaun bank yang berlainan.

“Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada duit simpanan mangsa, pinjaman rakan dan pinjaman bank.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Masyarakat perlu mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat yang ditawarkan dan diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Loading...
Terkini