comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes dadah: 2 anggota polis antara 4 penjawat awam ditahan 

Antara dadah yang dirampas melalui Ops Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan yang dijalankan bermula 1 April sehingga semalam.-Foto: NSTP/Ihsan Polis

KOTA BHARU: Empat penjawat awam termasuk dua anggota polis antara 1,072 tahanan yang ditangkap melalui Ops Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan yang dijalankan bermula 1 April sehingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kesemua suspek yang bekerja sebagai penjawat awam berusia 34 sehingga 54 tahun dan ditahan di tiga jajahan berbeza iaitu Tumpat, Bachok dan Pasir Mas.

“Salah seorang anggota polis yang terbabit ditahan pada 4 April, di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), manakala seorang lagi pada 6 April lalu, di hadapan sebuah rumah di Kampung Tanjung Baru, Mukim Rahmat, Lubok Setol, Pasir Mas.

“Selain itu, dua lagi suspek masing-masing bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pertahanan Malaysia. Hasil ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kes membabitkan penjawat awam terbabit akan disiasat dibawah Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zaki berkata melalui Ops Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah seperti pil yaba, heroin, ganja, syabu serta air dan daun ketum bernilai RM242,193.86

“Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 15,863 orang penagih dadah.

“Kesemua 1,072 tahanan membabitkan 1,051 lelaki dan 21 wanita berusia antara 17 sehingga 59 tahun. Turut disita ialah kenderaan serta wang dalam akaun bernilai RM42,338.68 dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (PelucuthakanHarta)1988.

“Tumpuan operasi adalah di kawasan sasaran yang dikenal pasti iaitu di kawasan port aktif atau sarang penagih dadah yang menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya

Menurutnya, operasi bersepadu di sempadan itu juga bertujuan untuk mengesan serya menghalang penyeludupan dadah dari negara jiran sekali gus mengekang isu ketirisan rentas sempadan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini