comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes pemerasan: 2 anggota polis dilepas dengan jaminan

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, yang ditahan semalam, bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000, dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Johor Komisioner M.Kumar berkata, kedua-dua anggota polis yang berusia 29 dan 37 dari Bahagian Narkotik IPD Seri Alam itu tidak disambung reman sementara polis melengkapkan siasatan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, dua lagi anggota dari Ibu IPD Seri Alam, ditahan sebelum direman dua hari bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000.

Tambahnya seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam yang direman sejak Rabu lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.

Rabu lalu, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000.

Semua lapan individu berusia 20 hingga 50 tahun itu direman empat hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Pada malam Isnin lalu, polis menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 oleh pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seri Alam.

Seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan polis dengan mendakwa bahawa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang berjumlah RM35,000 kepada anggota polis berkenaan, namun mendakwa bahawa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.

Susulan itu, enam lelaki dan dua wanita yang juga pegawai serta anggota polis IPD Seri Alam ditahan kira-kira 2 pagi Selasa lalu untuk siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini