comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes penipuan belian atas talian paling banyak direkodkan polis Johor bagi tempoh 1-15 Mac 2024

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Polis kontinjen Johor merekodkan 155 kes jenayah, meningkat 13 peratus bagi tempoh 1 hingga 15 Mac tahun ini, berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, daripada 155 kes berkenaan, kes penipuan adalah paling tinggi iaitu sebanyak 123 kes atau 79 peratus.

Ia membabitkan penipuan belian atas talian sebanyak 32 kes, pelaburan tidak wujud (18 kes), phone scam (18 kes), pinjaman tidak wujud (16 kes) dan lain-lain penipuan.

Katanya, jumlah kerugian yang direkodkan adalah sebanyak RM3,944 juta berbanding RM4,336 juta pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

Ujarnya, jumlah itu bagaimanapun berkurangan sebanyak 9 peratus atau RM391,982 juta.

Kes penipuan merekodkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM3,446 juta atau 87 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan.

M.Kumar berkata, polis Johor memberi komitmen berterusan untuk meneruskan kempen kesedaran jenayah komersial secara bersemuka dan media sosial bagi membantu orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

Orang ramai juga diseru lebih cakna tentang trend semasa aktiviti penipuan jenayah komersial bagi mengelak menjadi mangsa.

Mereka boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial secara atas talian melalui akaun rasmi JSJK@CyberCrime Alert dan @ JSJK PDRM dilaman Facebook, Instagram, dan TikTok.

Selain itu orang ramai juga disaran menggunakan talian CCID INFILINE dan menggunakan perkhidmatan ‘SEMAK MULE’ sebelum membuat sebarang bayaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini