comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes tembak di Machang, polis reman 4 individu 

KOTA BHARU: Polis menahan 4 individu susulan kes seorang lelaki yang maut akibat ditembak di hadapan sebuah bengkel di Kampung Hutan Kuin, Machang di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena tujuh das tembakan termasuk di kepala dan dada.

Jelasnya individu yang ditahan berusia antara 25 hingga 36 tahun dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ke semua suspek direman selama seminggu bermula semalam sehingga 25 September dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

“Selain itu, pihak kami juga sudah memanggil 25 saksi termasuk keluarga dan rakan mangsa serta individu yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pada masa sama, pihaknya turut merampas dua pucuk pistol yang dipercayai milik mangsa dan dijumpai di lokasi berlainan.

“Selain itu, berdasarkan rampasan dan pemeriksaan yang dilakukan ke atas telefon bimbit mangsa, pihak kami tidak menolak kemungkinan mangsa ada penglibatan dengan kumpulan yang menjalankan aktiviti haram.

“Hasil pemeriksaan kandungan ke atas telefon bimbit mangsa juga mendapati terdapat individu-individu terkait yang mengetahui apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa mempunyai 21 rekod iaitu 12 kes berkaitan dadah dan sembilan kes lagi di bawah jenayah termasuk membabitkan senjata api dan sebagainya.

“Setakat ini kita melihat mangsa lebih berkuasa dan mungkin ketua kumpulan, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, melalui siasatan yang dilakukan selain keterangan saksi dan tangkapan yang dibuat, maklumat awal yang diperoleh mendapati sebelum kejadian itu berlaku mungkin ada pertelingkahan dan pakatan luar yang membawa kepada kematian.

“Kemungkinan kejadian ini berlaku disebabkan oleh permasalahan di dalam kumpulan atau dengan kumpulan lain yang mempunyai hubung kait yang bukan sahaja di Kelantan tetapi juga negara jiran.

“Pihak kami percaya, dengan kejadian ini kita boleh merungkai beberapa kumpulan yang aktif dalam soal pengedaran dadah, senjata api dan aktiviti haram yang lain,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lelaki berusia 38 tahun meninggal dunia dipercayai ditembak di hadapan kedai untuk membeli alat ganti kenderaan di Kampung Hutan Kuin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang pada Ahad lalu, mangsa meninggal dunia di tempat duduk pemandu sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.

Loading...
Terkini