comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes warga Israel: Polis akan percepat rakam percakapan saksi – KPN 

KUALA LUMPUR: Polis akan mempercepatkan rakaman percakapan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan kes warga Israel ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, kertas siasatan itu akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini siasatan kita telah menjurus kepada percakapan saksi bahawa siasatan ke arah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dapat kita percepatkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

“Dengan lebih kurang dua hingga tiga orang saksi (iaitu) pegawai polis dan awam (untuk dirakam percakapan). Siasatan kita buat masa ini, awalnya Seksyen 12 Akta Pasport 1956, tetapi apabila menjumpai senjata kita telah pun menjeniskan siasatan dibawah Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 yang membawa hukuman mati dan sebat,” katanya.

Mengulas mengenai siasatan polis ketika ini mendapati, suspek berusia 36 tahun itu tidak tersenarai sebagai orang yang dikehendaki oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL).

“Semalam saya dah mesyuarat kali kedua (berhubung kes itu) belum ada INTERPOL hubungi kita memaklumkan suspek ada dalam target mereka.

“Kita pun sudah kenal pasti, suspek tiada dalam target INTERPOL,” katanya.

Dalam sidang media itu, Razarudin turut mendedahkan senjata api yang dirampas disahkan dari Thailand.

“Daripada siasatan kita ini, kita dapati senjata api itu memang diambil dari Thailand saya mengaku ada kelompongan di situ, untuk bawa masuk senjata api dan kontraband.

“Dari sudut pihak polis memang utamakan keselamatan di sempadan, kita menguatkan pasukan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA). Kita kena pastikan tiada ketirisan dan penyeludupan masuk. Kita tahu di Kelantan sempadan hanya sungai sahaja,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini