comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kondominium dijadikan tempat aniaya, bunuh kucing

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan dengan membunuh dan mengerat anggota badan kucing di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri.

Perbuatan lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai menyewa rumah itu terbongkar selepas pemilik menemui puluhan rangka, organ dan daging kisar haiwan disyaki kucing.

Penemuan pada 11 Mac lalu itu didedahkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) di laman Facebook hari ini, yang memaklumkan laporan polis telah dibuat.

Foto Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia

Menurut MAA, kegiatan individu yang membunuh dan mengerat anggota badan haiwan terbabit terbongkar selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan.

“Pemilik premis pada mulanya menerima aduan daripada jiran yang tidak tahan bau busuk dari dalam rumah dihuni lelaki tempatan.

“Hasil pemantauan mendapati keadaan rumah teruk, tragis dan mengerikan dengan banyak keratan anggota badan haiwan ditemui dalam rumah sewa itu.

“Terdapat sebuah bilik turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang telah reput,” kata kenyataan itu.

Foto Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia

MAA berkata, pemilik rumah kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu pada 13 Mac lalu.

Bagaimanapun, katanya, laporan dibuat tidak dilayan dengan alasan polis tiada kuasa membuat siasatan dan penguatkuasaan, walaupun terdapat Seksyen 428 Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa polis.

“Aduan akhirnya sampai kepada MAA sebelum dipanjangkan kepada Ketua Seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya satu tindakan siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh,” katanya.

Foto Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia

MAA menuntut supaya pelaku diheret ke mahkamah di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 jika benar berlaku aktiviti kezaliman itu.

Foto Ihsan Persatuan Haiwan Malaysia
Loading...
Terkini