comscore
Tumpuan :
Jenayah

KPKT sasar laksanakan sistem bina, jual rumah secara pilihan bagi tangani projek sakit

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk melaksanakan sistem penyampaian perumahan secara pilihan berasaskan bina-kemudian-jual berbanding jual-kemudian-bina pada tahun depan dalam usaha mengurangkan projek-projek sakit.

Sehubungan itu, Menterinya Nga Kor Ming berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bagi menangani isu tersebut.

“Pilihan yang paling baik adalah bina dan kemudian jual, bukan jual dan kemudian bina. Saya akan membincangkan dengan Rehda mengenai insentif model perniagaan baharu bagi membolehkan pemaju membina dan seterusnya menjual rumah-rumah baharu.

“Ini bagi memastikan tiada lagi projek-projek terbengkalai di masa depan kerana hanya dibenarkan menjual rumah yang sudah siap,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Perumahan Hartanah Malaysia (MAPEX) 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nga berkata pasukan petugas khas KPKT telah menghidupkan semula 256 projek bernilai RM23.37 bilion setakat Ogos tahun ini.

Pihaknya juga berjaya menyelamatkan nasib sebanyak 28,863 pembeli dan berusaha memastikan tiada lagi projek yang terbengkalai.Malah, setakat ini sebanyak 17 daripada 24 projek sakit di bawah pemantauannya telah dapat dipulihkan, kata Nga.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 9,500 unit rumah mampu milik dijangka siap di bawah Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) tahun ini.

MAPEX 2023 yang berlangsung sehingga 29 Okt, 2023, di Pusat Pameran Mid Valley di ibu negara, disertai oleh 44 pempamer yang merangkumi pemaju, institusi kewangan dan agensi kerajaan.KPKT akan turut bekerjasama dengan Rehda bagi usaha penganjuran bersama MAPEX 2024 untuk melonjakkan lagi sektor hartanah negara.– BERNAMA

Loading...
Terkini