comscore
Tumpuan :
Nasional

GPP Bandar Diraja pastikan nilai warisan bangsa dipelihara

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dalam usaha memelihara imej dan identiti sembilan Bandar Diraja sebagai lambang kedaulatan negara, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, GPP yang pertama kali dalam sejarah negara itu sebagai panduan pembangunan yang merangkumi empat aspek iaitu warisan, identiti, ekonomi, pelancongan.

“Bandar Diraja menyimpan budaya dan peradaban kesultanan Raja-Raja Melayu yang merupakan aset warisan bangsa yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Pemakaian GPP ini dapat memastikan nilai warisan bangsa dipelihara dengan menjadikan bandar ini sebagai warisan sejarah serta simbol kedaulatan negara.

“Garis panduan yang disediakan ini secara tidak langsung memartabatkan institusi raja di negara ini. GPP juga dilihat dapat mewujudkan peluang ekonomi penduduk melalui aktiviti pelancongan yang bersesuaian dengan budaya setempat,” katanya pada sidang media GPP Bandar Diraja, di sini hari ini.

Beliau berkata, GPP berkenaan memberi tumpuan terhadap sembilan Bandar Diraja yang telah dimasyhurkan sebagai Bandar Diraja di Semenanjung iaitu Bandar Diraja Arau, Perlis; Bandar Diraja Anak Bukit, Kedah dan Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak.

Bandar Diraja lain termasuk Bandar Diraja Klang, Selangor; Bandar Diraja Seri Menanti, Negeri Sembilan; Bandar Maharani Bandar Diraja Muar, Johor dan Bandar D’Raja Al-Muhammadi Kubang Kerian, Kelantan.

GPP turut terpakai di Bandar Diraja Kuala Terengganu, Terengganu dan Bandar Diraja Pekan, Pahang.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, GPP Bandar Diraja disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) KPKT dan telah dibentangkan serta diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mei lalu.

Beliau akan membentangkan kertas makluman garis panduan itu dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-141 pada Selasa depan sebelum diangkat di Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 keesokan harinya.

“Minggu ini apabila saya mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan telah dimaklumkan memang inilah antara pencapaian yang boleh dibanggakan kerana dengan perancangan rapi, saya jangka Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh mempromosi sembilan Bandar Diraja ini,” katanya.

Selain itu, Kor Ming berkata, GPP juga menggariskan kawalan intensiti pembangunan di kawasan Bandar Diraja, penyediaan komponen utama dan unsur sokongan Bandar Diraja seperti galeri, muzium, dataran serta arca diraja, termasuk meliputi aspek seni bina bangunan dan landskap bagi meningkatkan lagi potensi, imej serta identiti Bandar Diraja.

Loading...
Terkini