comscore
Tumpuan :
Nasional

Bilik sewa bersaiz liang lahad, sangkar burung akan dipantau – KPKT

IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran kepada pemilik rumah atau premis yang melakukan ubahsuai melampau dengan menambah ruang untuk dijadikan bilik sewa sempit seakan ‘liang lahad’ atau ‘sangkar burung’.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, KPKT dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan akan secara aktif memantau keadaan itu serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mereka yang melanggar peruntukan akta berhubungnya.

“KPKT mengambil pendirian tegas dan memberi amaran kepada semua pemilik rumah yang melakukan ubahsuai sedemikian yang tanpa kebenaran PBT, agar mereka mengubah semula kepada bentuk asal, atau tindakan tegas bakal diambil.

“Perbuatan itu melanggar Seksyen 79 Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang mana perbuatan mengubah struktur sedemikian mesti selepas mendapat kebenaran bertulis daripada PBT selain peruntukan bahawa PBT boleh memasuki premis itu bagi mengubahnya semula kepada bentuk asal,” katanya dalam sidang media ketika Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming

Beliau mengulas laporan mengenai kegiatan ubahsuai sedemikian yang semakin berleluasa khususnya di bandar besar hinggakan ada premis kedai di Kuala Lumpur diubah suai bagi menempatkan 38 bilik sewa dengan penyewa hanya boleh duduk dan baring di dalamnya pada kadar sewa RM300 sebulan.

Kor Ming berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya, situasi sedemikian tidak hanya berlaku di ibu kota atau Lembah Klang sebaliknya turut meliputi kawasan semua 20 bandaraya yang ada di negara ini termasuk Ipoh.

Katanya, perbuatan itu, selain boleh menjejaskan kesihatan mental apabila mengundang klaustrophobia atau fobia kepada tempat sempit, selain mengundang bahaya terutama dari aspek keselamatan kebakaran.

“Kita harus mengambil iktibar daripada kejadian kebakaran membabitkan sebuah sekolah tahfiz pada 2016 yang meragut 21 nyawa pelajar sekolah itu, memandangkan bangunan yang diduduki mereka ketika itu tiada kebenaran dari PBT. Kita takuti nanti ada pula kedai (premis) yang sebegini dan 38 orang pula mati.

“Sekiranya hendak buat pengubahsuaian, sila mohon kepada PBT dan tidak membuat pembahagi yang berlebihan dan keterlaluan sehingga membahayakan nyawa penyewa.

“Saya sudah berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan memang bomba juga memandang serius masalah ini. Tindakan undang-undang akan disusuli jika keadaan tidak bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata, sebarang aduan berkaitan isu itu boleh disalurkan secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA).

Loading...
Terkini