comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki ditahan, miliki mercun dan bunga api tanpa lesen

Foto hiasan

MERSING: Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa lesen, dalam dua serbuan berasingan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata kedua-dua lelaki berusia 30 dan 34 tahun itu ditahan pada 28 Mac lepas dan semalam, selain turut merampas kesemua barangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM16,200.

Beliau berkata serbuan ke atas kediaman di Endau dan Felda Tenggaroh itu, dilakukan oleh pasukan Polis Marin Wilayah Dua Mersing hasil daripada risikan.

“Antara yang dirampas adalah 86 kotak kecil ‘Happy Boom Bee’, 48 kotak ‘Happy Boom Cili Padi’, 40 kotak ‘Happy Boom Pili Cracker’, 40 bungkus mercun bola Thai dan 37 kotak ‘Happy Boom Glow of Sunset’ serta 36 kotak ‘Happy Boom Mancis’.

“Dipercayai mercun tersebut yang diperoleh dari luar Mersing itu, adalah bagi memenuhi permintaan dan pasaran tempatan menjelang Aidilfitri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Razak berkata hasil semakan mendapati kedua-dua lelaki terbabit tidak mempunyai rekod lampau.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penjualan mercun boleh menghubungi IPD Mersing di talian 07-7992222 atau hotline 07-7996224 atau datang ke balai polis berhampiran,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini