comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki Kemaruk Ugut Rakan Jadi Teman Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang wanita nekad membuat laporan polis selepas diugut seorang rakan lelaki yang kemaruk mahukan dia menjadi teman wanitanya dengan pelbagai ugutan jenayah sekiranya dia enggan.

Dalam kejadian jam 6.30 petang pada 1 Oktober lalu apabila lelaki terbabit datang ke rumah mangsa di Taman Ukay Perdana, Ampang dan ketika berada di luar pagar rumah, lelaki terbabit memaksa mangsa untuk berjumpa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata suspek turut mengugut mahu menumbuk muka mangsa apabila wanita berusia 28 tahun itu enggan keluar rumah untuk bertemu dengannya.

“Selain itu, suspek turut mengugut akan menarik atau merosakkan kereta mangsa sekiranya pengadu tidak mahu berjumpa dengannya di mana-mana tempat.

“Pengadu memaklumkan berkenalan dengan suspek sejak 10 bulan lalu dan lelaki itu dikatakan sering mengawalnya dengan tidak membenarkannya berkawan ataupun rapat dengan lelaki lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ekoran laporan polis dibuat mangsa, katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya berjaya menahan suspek di Bangsar Baru di sini, pada jam 9 malam tadi serta merampas telefon bimbit miliknya.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang berusia 34 tahun tidak berpuas hati dengan mangsa kerana tidak mahu menjadi teman wanitanya

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dadah dan dia direman dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini