comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki warga asing disyaki rogol anak tiri

Suspek (tengah) ditahan di sebuah ladang dekat Merotai. – Foto: Ihsan PDRM

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun dalam kejadian di sebuah rumah lama di kebun kelapa sawit, dekat Merotai di sini, 7 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek berusia 32 tahun ditahan 9.50 malam kelmarin.

Beliau berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat dalam tempoh kurang 24 jam susulan laporan oleh ahli keluarga mangsa di Balai Polis Desa Kencana, Lahad Datu, kira-kira jam 12.01 tengah malam, hari sama.

“Berdasarkan laporan, mangsa yang tinggal bersama suspek sejak 5 Mac lalu meceritakan kejadian rogol itu kepada kakaknya yang tinggal di Felda Sahabat 20, Lahad Datu, menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mangsa mendakwa telah dirogol suspek pada 7 Mac lalu dan turut diugut akan dipukul atau dicederakan sekiranya mangsa memberitahu kejadian itu kepada sesiapa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jasmin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bombalai membuat serbuan di sebuah kebun kelapa sawit milik persendirian di Kampung Iban, Merotai jam 9.50 malam.

Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau pagi ini untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mangsa akan dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan selanjutnya.

Loading...
Terkini