comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lelaki warga emas maut ditikam suami cemburu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut selepas ditikam seorang lelaki yang mengesyaki mangsa ada hubungan sulit dengan isterinya, di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Kajang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata mangsa yang berusia 71 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Serdang pada jam 11.05 malam tadi.

Beliau berkata, polis pada awalnya menerima laporan daripada pihak hospital menyatakan menerima seorang pesakit mengalami kecederaan akibat ditikam, pada jam 6.29 petang semalam.

“Polis dimaklumkan mangsa dihantar ke hospital oleh seorang rakan wanitanya dan mangsa sempat memaklumkan kepada petugas hospital bahawa dia diserang dan ditikam di kawasan pasar raya terbabit.

“Pemeriksaan awal pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada paru-paru kanan akibat ditikam dengan senjata tajam, selain kesan tikaman pada peha dan bahu kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa kemudian ditempatkan di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Serdang dan menggunakan alat bantuan pernafasan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 11.05 malam.

“Berikutan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di sebuah lokasi di ibu negara pada jam 1.35 pagi tadi dan isteri suspek yang berusia 51 tahun di Hospital Serdang untuk membantu siasatan.

“Hasil soal siasat, suspek lelaki mengaku mencederakan mangsa dan punca kejadian kerana suspek marah disebabkan isterinya ada hubungan intim dengan mangsa.

“Suspek mendakwa ketika kejadian, isterinya sedang berdua-duaan bersama mangsa dalam sebuah kenderaan di lokasi kejadian,” katanya.

Mohd Zaid berkata, polis turut merampas beberapa barangan termasuk kenderaan milik mangsa, empat telefon bimbit, pakaian suspek yang ada kesan darah dan resit pembelian pisau untuk siasatan.

“Lelaki dan isterinya itu kini direman tujuh hari sehingga 2 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata, maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Salleh di talian 013-7854100 atau mana-mana balai polis berdekatan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini