comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lindungi aktiviti haram: Lebih RM1.2 juta wang tunai ditemui di premis milik pegawai kanan polis

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan dan seorang anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabtu lalu kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur.

Menurut sumber, suspek utama iaitu lelaki berusia 40an disyaki menerima suapan antara tahun 2021 hingga tahun ini daripada sindiket dalam bentuk tunai.

Suapan berkenaan sebagai balasan melindungi aktiviti haram melibatkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.

“Hasil penahanan ke atas suspek, SPRM turut menemui sejumlah wang bernilai lebih RM1.2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.

“Suspek utama telah ditahan di Putrajaya kelmarin, manakala suspek kedua yang merupakan anggota bawahannya ditahan pada hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Susulan itu, SPRM membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Perintah reman selama tiga hari sehingga esok dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Farhana Mohd Najib ke atas suspek utama.

Suspek kedua pula direman selama satu hari.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti dalang lain yang terlibat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini