comscore
Tumpuan :
Jenayah

Medan selera tawar GRO kepada pelanggan

Salah sebuah premis urut yang diserbu polis semalam yang disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan. – FOTO: Ihsan polis.

KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik medan selera, namun menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan tertentu.

Pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks perlu membayar harga kalungan bunga sebelum boleh membawa wanita pelayan pelanggan (GRO) keluar dari premis berkenaan.

Kegiatan tidak bermoral premis yang beroperasi di ibu kota itu terbongkar selepas diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata medan selera itu antara 11 premis yang diserbu pasukan bermula 2.50 petang sehingga 11 malam.

“Premis diperiksa terdiri daripada dua medan selera, dua premis pelacuran dan tujuh premis urut yang beroperasi sekitar Jalan Pudu dan Bukit Bintang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Dellhan, seramai 47 individu turut ditahan membabitkan 25 wanita warga asing; wanita tempatan dua orang; lelaki warga asing, 14 orang dan lelaki tempatan, 6 orang.

Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun.

Salah sebuah daripada dua medan selera di ibu negara yang diserbu polis semalam kerana disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan berminat. – FOTO: Ihsan polis.

Hasil serbuan, polis turut merampas pelbagai peralatan disyaki digunakan bagi perkhidmatan seks, peralatan muzik, resit dan lesen perniagaan, telefon bimbit, kalungan bunga serta wang tunai berjumlah RM4,730.

Katanya, siasatan awal mendapati, medan selera berkenaan menggunakan taktik memberikan kalungan bunga yang mana pelanggan akan membayarnya dengan harga tertentu.

Katanya, kesemua individu yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut.

Noor Dellhan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan menyalahi undang-undang dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau balai polis berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini