comscore
Tumpuan :
Jenayah

Padah aksi ‘wheelie’

KUALA LUMPUR: Tindakan tiga rakan melakukan aksi ‘wheelie’ di Dataran Merdeka, di sini, akhirnya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata operasi yang diketuai oleh Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod itu bermula jam 1 pagi hasil maklumat dan risikan di sekitar lokasi berkenaan.

“Kami menahan tiga lelaki berusia 17 hingga 21 tahun kerana melakukan aksi ‘wheelie’ dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan masing-masing bekerja sebagai jurujual, pekerja restoran makanan segera dan pekerja kargo.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara bahaya.,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Zulkefly berkata seorang kelindan lori berusia 26 tahun ditahan di Jalan Ipoh, di sini, dalam satu sekatan jalan raya selepas disyaki menggunakan motosikal dengan nombor pendaftaran palsu.

“Lelaki yang menggunakan motosikal Honda EX5 itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Loading...
Terkini