comscore
Tumpuan :
Jenayah

Padah cuai memandu, pesara sebabkan kematian remaja perempuan ditahan

Foto hiasan

KUALA KANGSAR: Seorang pesara berusia 68 tahun ditahan polis selepas disyaki cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kematian seorang remaja perempuan yang menunggang motosikal di Kilometer 14, Jalan Kuala Kangsar-Manong, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.54 petang, kereta yang dipandu warga emas berkenaan telah merempuh motosikal yang ditunggang Nurul Afizah Mohamad Zubir, 17, dan mengakibatkan pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin, Manong itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa tidak sempat mengelak kereta dipandu lelaki itu yang dikatakan cuba membelok ke kanan.

Katanya, ketika kejadian, mangsa dari arah Manong menghala Kuala Kangsar sebelum pemandu kereta yang berada di bahu jalan sebelah kiri laluan mangsa dikatakan tiba-tiba memasuki laluan jalan untuk membelok ke kanan memasuki lorong Kampung Sementa Kuala Kenas.

“Penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta itu di bahagian sisi kanan kenderaan. Pemandu kereta kemudian ditahan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata, warga emas tersebut yang beralamat di Kota Damansara, Selangor itu bagaimanapun tidak cedera manakala bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dilakukan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini