comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pasangan suami isteri antara tiga diberkas cuba seludup dadah ke Miri

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan bungkusan plastik mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 36.53 kilogram (kg) yang dirampas.

SEPANG: Pasangan suami isteri antara tiga individu diberkas di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah kondominium di sini 24 Januari lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 34 tahun merupakan sepasang suami isteri dan seorang lelaki bujang dipercayai menjadi keldai untuk membawa dadah bernilai RM1.2 juta ke Miri, Sarawak.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sepang kira-kira jam 10.30 pagi.

“Pihak polis telah merampas 38 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 36.53 kilogram (kg).

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat ke Miri, Sarawak pada jam 12 tengah hari,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau iaitu satu kes dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kesemua suspek telah ditahan reman selama 7 hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini