comscore
Tumpuan :
Jenayah

PDRM sahkan rampasan dadah oleh pihak berkuasa Australia

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin mengesahkan rampasan dadah heroin seberat 336 kilogram (kg) oleh Pihak Berkuasa Australia yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lalu.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan rampasan dadah heroin seberat 336 kilogram (kg) oleh Pihak Berkuasa Australia yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lalu.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dadah itu dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu media melaporkan, pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu, berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

Menurutnya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena itu yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

“Pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan, positif dadah jenis heroin.

“Penyiasat AFP serta pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya.

Loading...
Terkini