comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pegawai polis direman kes langgar mati pelajar

Foto tular

KUALA LUMPUR: Pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) yang disyaki terbabit dalam kejadian melanggar seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, semalam, direman selama tiga hari.

Suspek yang bertugas sebagai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, ditahan reman bermula hari ini.

Perintah reman  dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika dihubungi mengesahkan pegawai berkenaan direman selama tiga hari bagi membolehkan siasatan secara menyeluruh dijalankan secara telus dan adil.

Beliau turut mengarahkan Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci mengenai insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata  bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian Muhammad Zaharif Affendi disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya.

Setakat ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

Selain itu,  katanya, siasatan akan turut dijalankan dari pelbagai sudut termasuk menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, tinjauan mendapati poster mangsa tertera tulisan ‘Justice For Muhammad Zaharif Affendi’ ditampal pada penghadang di sebuah tapak pembinaan  bersebelahan Mahkamah Sesyen/Majistret Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini.

Dalam kejadian jam 12.35 tengah hari semalam,  Muhammad Zaharif Affendi, 17, maut selepas motosikalnya dilanggar  sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, Perak.

Video  kemalangan  turut tular di media sosial memaparkan pelajar berkenaan yang cedera didakwa dilanggar sebuah kereta.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini