comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pemandu mabuk ditahan langgar dua individu bermotosikal

Polis menahan seorang lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kecederaan kepada dua individu bermotosikal dalam kejadian di lampu isyarat persimpangan Jalan Ashman Shah, di Ipoh awal pagi tadi. – FOTO: Ihsan Polis Daerah Ipoh.

IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kecederaan kepada dua individu bermotosikal dalam kejadian di lampu isyarat persimpangan Jalan Ashman Shah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata siasatan awal mendapati kemalangan jam 1.15 pagi itu berlaku apabila pemandu MPV terbabit, umur 44 tahun melanggar sebuah motosikal dinaiki dua mangsa menyebabkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh.

Katanya, insiden itu turut mengakibatkan MPV berkenaan melanggar sebuah kenderaan lain ketika pemandu mabuk itu mengundurkan kenderaannya sebelum dia terus membuat pusingan ‘U’ dan masuk ke Jalan Kamaruddin Isa.

Kenderaan dipandunya kemudian hilang kawalan dan melanggar penghadang batu di Jalan Sybil Kathigasu.

“Hasil ujian penafasan mendapati kadar alkohol dalam badan pemandu van (MPV) melebihi had ditetapkan. Semakan rekod pemandu mendapati dia turut mempunyai 20 rekod saman trafik termasuk empat kesalahan kemalangan.”

“Manakala semakan rekod van yang dipandunya mempunyai tiga rekod saman terkumpul membabitkan memandu laju,” kata Abang Zainal Abidin dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abang Zainal Abidin, pemandu MPV terbabit serta pemandu kereta yang dilanggarnya tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala dua individu yang menaiki motosikal tercedera dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut.

Penunggang dan pembonceng motosikal berumur 27 tahun dan 32 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan.

Beliau meminta saksi kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini