comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pencuri kabel elektrik diberkas

Sebahagian kabel elektrik yang dirampas susulan penahanan dua lelaki di Manggatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua kes mencuri kabel elektrik di Manggatal, dekat sini.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 27 dan 38 tahun itu masing-masing ditahan di Kampung Raganan, Tuaran dan di Manggatal, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, SAC Azmi Abd Rahim berkata dalam kes pertama pada 13 Mei lalu, polis menerima laporan daripada seorang penyelia apartment berhubung dua suspek terbabit yang disyaki mencuri kabel pembumian elektrik di Apartment Bandar Sierra, Manggatal.

Katanya, perbuatan jenayah itu turut dirakam saksi kejadian yang kemudian memuat naik video di laman sosial sebelum tular.

Jelas Azmi, pagi tadi pada jam 6.15 pagi tadi, pihaknya sekali lagi menerima laporan daripada kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengatakan kabel milik mereka jenis HBV BC anggaran panjang 80 meter dipotong disyaki dicuri.

“Akibat kejadian itu SESB mengalami kerugian kira-kira RM4,800,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Azmi, suspek pertama ditahan di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Raganan, Tuaran pada jam 12.40 tengah hari.

Manakala suspek kedua diberkas di Manggatal kira-kira jam 5.45 petang.

Beliau berkata polis turut merampas 19 kabel milik SESB yang telah dipotong anggaran panjang dua hingga empat meter setiap satu daripada kedua-dua suspek.

Siasatan awal mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau iaitu curi kenderaan, pecah rumah dan pencerobohan bangunan manakala suspek kedua memiliki lapan jenayah lampau curi dan berkait dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431(A) Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini