comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penganggur ditahan selepas larikan kereta ‘H’ dari pusat cucian kenderaan

SHAH ALAM: Seorang penganggur ditahan di Pokok Sena, Kedah selepas melarikan sebuah kereta jenis Honda City Hatchback milik seorang lelaki di sebuah kedai mencuci kenderaan di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berkenaan ditahan sekitar jam 6.10 pagi, hari ini.

Katanya, polis menerima laporan daripada pemilik kenderaan itu pada jam 9.30 malam, Isnin lalu yang memaklumkan keretanya dilarikan seorang lelaki ketika berada di pusat cuci kenderaan.

“Siasatan mendapati pengadu menyerahkan kunci keretanya kepada suspek yang disangka salah seorang pekerja di kedai mencuci kenderaan itu sebelum suspek bertindak melarikan keretanya.

“Bertindak atas maklumat, tangkapan dibuat ke atas suspek iaitu seorang lelaki tempatan yang berusia 26 tahun.

“Hasil semakan, suspek yang tidak bekerja turut mempunyai dua rekod lampau dadah. Hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kereta berkenaan yang ditemui di Seksyen 7 dekat sini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun jika disabitkan dengan kesalahan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi ditalian 012-3848103,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman seorang lelaki melarikan sebuah kereta yang berada di dalam pusat cuci kenderaan.

Loading...
Terkini