comscore
Tumpuan :
Jenayah

Pengawal peribadi berlagak samseng, mengaku polis 

Foto hiasan

KAJANG: Berlagak ala samseng, menyamar sebagai anggota polis dan menayangkan senjata api kepada pengawal keselamatan.

Tindakan melampau seorang lelaki di sebuah kawasan perumahan di Bandar Sungai Long, di sini, kelmarin mengundang padah apabila dia kemudian ditahan pihak berkuasa

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam daripada lelaki tempatan yang juga pengawal keselamatan di kawasan perumahan terbabit.

“Ketika sedang bertugas mangsa didatangi suspek yang ingin memasuki kawasan perumahan berkenaan di Bandar Sungai Long, di sini untuk bertemu teman wanitanya.

“Mangsa kemudian meminta pengenalan diri daripada suspek untuk didaftarkan sebagai pelawat namun suspek enggan memberi kerjasama dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tidak mempercayai kata-kata suspek membuatkan lelaki itu berang sebelum membuka pintu kereta dan menunjukkan sepucuk pistol terselit di pinggang.

Katanya, suspek turut memaki hamun  dengan kata-kata kesat dan menakutkan mangsa menyebabkan pengawal keselamatan itu membenarkan suspek memasuki kawasan perumahan berkenaan.

“Sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan suspek seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama sepucuk pistol dan 10 butir peluru hidup.

“Semakan mendapati suspek bukan anggota polis sebaliknya bekerja sebagai pengawal peribadi persendirian dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai surat kebenaran untuk membawa dan menggunakan senjata api terbabit untuk penugasan syarikat kawalan keselamatan.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing juga didapati negatif.

“Suspek direman empat hari bagu membantu siasatan mengikut Seksyen 506/170 Kanun Keseksaan / 8(a) Akta Senjata 1960 / 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana melakukan ugutan sehingga menyebabkan ketakutan dan menyamar sebagai anggota polis.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua duanya sekali,” katanya.

Loading...
Terkini