comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis siasat kes khianat lelaki tendang pintu surau

Pintu surau yang dikatakan pecah serta rosak angkara lelaki terbabit. – FOTO: Tangkap layar video tular

KAJANG: Polis menyiasat insiden salah faham seorang lelaki yang bertindak menendang pintu surau di sebuah flat di Sungai Chua, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun berkaitan kes khianat harta benda di surau terbabit.

“Kejadian dipercayai pada jam 9.25 malam apabila seorang lelaki bertindak menendang pintu surau hingga menyebabkan kerosakan.

“Hasil siasatan, suspek yang tinggal tidak jauh dari surau berkenaan menyatakan tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara surau yang kuat hingga mengganggunya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, susulan laporan yang diterima, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berusia 46 tahun bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin lalu.

“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan dan tindakan segera pihak polis, kedua-dua pihak memberikan kerjasama kepada polis berkaitan isu selisih faham berkenaan di mana saksi-saksi lain yang terbabit turut dipanggil memberikan keterangan, termasuk isu menyebarkan video yang tular di media sosial berkaitan dengan kejadian ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana membinasakan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama.

Loading...
Terkini