comscore
Tumpuan :
Jenayah

Penghantar Makanan Bawa Hampir 18 Kilogram Ganja Ditahan

Razlam (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas daripada suspek yang juga penghantar makanan. – FOTO: NSTP

TAIPING: Tindakan seorang penghantar makanan tidak memberhentikan kereta ketika melalui sekatan jalan raya berhampiran kawasan Rehat & Rawat (R&R) Taiping arah selatan, membawa kepada penemuan hampir 18 kilogram dadah jenis ganja, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Trafik Peronda Lebuh Raya Utara Selatan menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dipandu seorang lelaki.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu guni plastik berisi 18 ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran berat 17.974 kilogram bernilai RM54,000.

“Siasatan awal mendapati suspek berkerja sebagai penghantar makanan dan sudah berkahwin serta mempunyai dua anak itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor.

“Polis menemukan wang tunai berjumlah RM2,119 dipercayai hasil jualan dan upah bayaran yang diterima suspek bagi membawa dadah berkenaan.

“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati ia negatif dan suspek juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.

Razlam berkata, suspek dikatakan mula bergiat dalam aktiviti itu bermula Julai lalu dan memperoleh bekalan dari Pulau Pinang sebelum menghantarnya untuk dipasarkan ke kawasan sekitar Selangor.

“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM56,119 dan suspek direman tujuh hari bermula 26 Ogos hingga Khamis ini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini