comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis bongkar aktiviti pecah rumah, premis perniagaan guna kereta sewa

ACP Bahrin sedang menunjukkan beberapa barangan yang dirampas dalam empat serbuan berasingan baru-baru ini.

KLUANG: Modus operandinya sewa kereta pacuan empat roda untuk pecah masuk rumah dan premis perniagaan.

Itu taktik yang digunakan sekumpulan penjenayah didalangi lima sekawan termasuk seorang wanita.

Taktik itu akhirnya terbongkar selepas polis berjaya memberkas mereka dalam empat serbuan berasingan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, kumpulan berkenaan dikesan aktif sejak dua bulan lalu.

“Kumpulan itu akan menggunakan kereta pacuan empat roda seperti triton yang disewa sekitar Johor untuk melakukan jenayah di beberapa lokasi” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, petang tadi.

Ujarnya, semua suspek berumur 24 hingga 38 tahun ditahan antara jam 10 pagi dan 3 petang di sekitar Mersing, Jumaat lalu.

Siasatan awal mendapati suspek melakukan jenayah pada waktu malam dengan mensasarkan rumah dan kedai yang tidak berpenghuni sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa dan menjualnya untuk membeli dadah.

Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis syabu.

ACP Bahrin menambah, susulan kejayaan itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta proton Gen 2 milik mangsa, dua utas gelang emas, sebilah sabit, wang tunai RM960 dan kereta sewa yang digunakan untuk kegiatan jenayah itu.

Polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan berkenaan sekurang-kurangnya tujuh kes samun termasuk 5 di Kluang, dan masing-masing satu kes di Mersing dan Rompin, Pahang dapat diselesaikan.

Semakan juga mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Polis sedang memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai, M.Munisiran, 32 tahun, alamat terakhir di nombor 24 Jalan Jati Taman Sri Plentong, Masai Johor.

Polis juga sedang mengesan pemilik kereta sewa berkenaan bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini