comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis Melaka tahan 7 ‘bookie’ Piala Dunia

 

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang warga emas lelaki berusia 60 tahun antara tujuh bookie atau ejen pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 yang ditahan polis dalam satu serbuan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam serbuan pada jam 9 malam tadi, lelaki terbabit sedang leka melihat telefon bimbitnya di sebuah warung di Malim untuk menerima pertaruhan daripada pelanggannya.

“Warga emas itu adalah antara tujuh ‘bookie’ atau ‘punter’ yang ditahan pasukan polis Kontinjen Melaka dalam enam serbuan berasingan pada Op Soga IX bermula 19 November hingga awal pagi tadi.

“Serbuan dilakukan bagi membanteras pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 tanpa lesen yang sah itu melibatkan kawasan kedai dan rumah sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zainol, serbuan itu turut merampas wang tunai berjumlah RM4,416, tujuh telefon bimbit dan kertas pertaruhan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjadi ejen perjudian bola sepak dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 sehingga RM200,000 dan penjara maksimum lima tahun.

“Polis Kontinjen Melaka ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terbabit dengan mana-mana aktiviti perjudian terutamanya pada musim Piala Dunia Qatar 2022 yang sedang berlangsung ketika ini,” katanya.

Loading...
Terkini