comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis siasat ‘dalang’ sebar video Faisal Halim disimbah asid

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu yang tular di media sosial hari ini, adalah video sebenar kejadian.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagaimana video berkenaan boleh tersebar kerana ia adalah bahan bukti untuk siasatan polis.

Terdahulu, katanya Polis Selangor mengesan video berdurasi 56 saat itu dimuat naik menerusi laman sosial X @OnefootballM, hari ini.

“Video ini adalah bahan bukti yang masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT Bukit Aman.

“Siasatan telah dimulakan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video rakaman CCTV tersebut mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video terbabit dan harus menghormati dan menjaga sensitiviti mangsa dan keluarga.

“PDRM memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video, sekali gus mengganggu siasatan,” katanya.

Hussein berkata, mengikut subseksyen (1) Seksyen 203A Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum dengan denda yang tidak melebihi RM1 juta atau boleh dipenjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Mengikut subseksyen (2) pula katanya, mereka yang mengetahui bahan yang didedahkan itu melanggar subseksyen (1) dan mendedahkan maklumat kepada orang lain, boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau boleh dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, klip rakaman CCTV berdurasi 56 saat itu dikesan mulai ditularkan oleh beberapa pemilik akaun laman X, hari ini.

Dalam klip rakaman kelihatan seorang lelaki disyaki penyerang dalam kejadian itu bersembunyi di belakang sebuah kenderaan di tempat parkir kenderaan sebuah bangunan.

Kemudian kelihatan kelibat Faisal sedang berjalan diekori seorang wanita di belakang dipercayai isterinya menuju ke arah sebuah kereta.

Lelaki yang bersembunyi di belakang kenderaan itu kemudian keluar dari belakang kenderaan dan mengekori Faisal sebelum menyimbah sesuatu ke arahnya sebanyak dua kali.

Faisal dilihat cuba mengelak daripada terkena simbahan sebelum dilihat lari dari tempat kejadian untuk menyelamatkan diri.

Penyerang yang bertopi dan berpelitup muka itu kemudian dilihat melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki yang siap sedia menunggunya tidak jauh dari tempat kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini