comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes simbah asid Faisal Halim: Hanya 3 cap jari cukup sifat – Ketua Polis Negara

FOTO: FAIL PDRM

KUALA LUMPUR: Hasil analisa Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati hanya tiga daripada lapan kesan cap jari di lokasi kejadian simbah asid pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dikategorikan sebagai cukup sifat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada analisa itu, lima daripadanya tidak cukup sifat.

“Hasil siasatan dalam sistem pangkalan data bagaimanapun mendapati tiada padanan dengan cap jari yang cukup sifat itu.

“Hal ini mungkin kerana individu terbabit tidak pernah ditahan dan tidak memiliki rekod kesalahan lampau.

“Polis sudah mengedarkkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid itu dan meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu,” katanya kepada media hari ini.

Tan Sri Razarudin berkata, suspek dianggarkan berusia 30-an, tinggi 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.

Orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atau 0322666071 jika mempunyai maklumat.

PDRM sebelum ini melaporkan pihaknya sedang menganalisa cap jari yang ditemukan di lokasi kejadian simbah asid membabitkan pemain kebangsaan, Faisal Halim.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pusat beli belah di lokasi kejadian mendapati suspek ada menyentuh beberapa kawasan atau tempat sehingga meninggalkan cap jari.

Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada jam 5 petang, 5 Mei lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini