comscore
Tumpuan :
Jenayah

Polis tahan tiga lelaki culik, pukul remaja

Kejadian memukul dan menculik seorang remaja di kawasan taman perumahan Kota Masai, Pasir Gudang di sini. – Foto tular

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan  dan sedang mengesan beberapa lagi individu yang terbabit dalam kejadian memukul dan menculik seorang remaja di kawasan taman perumahan Kota Masai, Pasir Gudang di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, remaja lelaki berusia 17 tahun itu didapati menjadi mangsa penculikan oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul sehingga mengalami kecederaan.

“Berdasarkan kepada rakaman video yang tular, mangsa disyaki dipukul dengan objek dipercayai topi keledar serta ditarik masuk ke dalam bonet kereta jenis Proton Satria berwarna kelabu.

“Kereta itu kemudian bergerak membawa pergi mangsa dari lokasi kejadian. Siasatan awal polis mendapati mangsa dibawa ke sebuah rumah lain di kawasan berhampiran.

“Mangsa dipukul dengan kayu cota dan beberapa objek lain sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan lebam di pipi kanan, leher, bahu dan belakang badan serta pendarahan di telinga kiri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, susulan kejadian itu, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 15 hingga 37 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar Pasir Gudang hari ini, bagi membantu siasatan.

“Seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 26 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan dadah serta hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menculik, Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian. Usaha mengesan dan menangkap suspek-suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Sohaimi menasihatkan pengguna media sosial supaya  prihatin terhadap sensitiviti kes serta berhenti daripada menyebarkan video mengenai insiden kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus talian hotline IPD Seri Alam 07-3864222 atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes, Inspektor Randall Alister Manggie di talian 011-2101 0320,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini