comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis siasat insiden penguatkuasa, pemilik premis bertikam lidah

PASIR GUDANG: Video kekecohan antara anggota penguatkuasa dan pemilik sebuah premis makan di Taman Rinting yang didakwa berlaku ketika pelanggan sedang makan di sini, tular di media sosial, sejak malam kelmarin.

Video berdurasi tiga minit 17 saat itu menyaksikan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) didakwa sedang menyita kerusi dan meja restoran berkenaan yang diletakkan di kawasan luar restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku itu.

Katanya, insiden berkenaan berlaku di sebuah premis perniagaan di Taman Rinting, Masai, di sini, pada malam Khamis lalu, kira-kira jam 10.25 malam.

Tangkap layar video tular

“Siasatan polis mendapati operasi itu dijalankan selari dengan peruntukan Seksyen 50(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2017, yang memberi kuasa kepada anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita barangan milik premis.”

Menurut Mohd Sohaimi lagi, dalam operasi itu MBPG telah menyita 64 kerusi dan 12 meja milik pengusaha restoran itu yang diletakkan di laluan pejalan kaki dari bahagian belakang restoran sehingga menyebabkan halangan.

Ia menyalahi Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana meletakkan alat guna niaga di tempat awam sehingga berlaku halangan.

Dalam video tular itu, pemilik premis dilihat meluahkan ketidakpuasan hati dengan nada tinggi.

Pemilik turut mendakwa anggota PBT berkenaan bertindak melulu selain membandingkan tindakan banyak premis makanan sama yang meletakkan kerusi dan meja mereka di luar restoran namun tidak diambil tindakan sama.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Tambah Mohd Sohaimi, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu siasatan sekali gus boleh menimbulkan salah faham masyarakat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini