comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sarjan polis disyaki rogol pelajar dibebaskan dengan jaminan polis

Sarjan polis disyaki merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun dibebaskan dengan jaminan polis. – FOTO: NSTP

MANJUNG: Sarjan polis yang sebelum ini ditahan reman kerana disyaki merogol pelajar berusia 16 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rabu lalu.

“Sekarang kita tunggu arahan daripada TPR sama ada teruskan dengan tuduhan atau perlu siasatan lanjut lagi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di Plaza Tol Lekir Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE), di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol oleh Sarjan polis berusia 42 tahun sebanyak dua kali di dalam kereta masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya dalam daerah Perak Tengah, pada Julai dan Oktober tahun lalu.

Perbuatan suspek yang juga Timbalan Ketua Balai itu terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada 20 Januari lalu.

Susulan itu, sepasukan anggota polis menahan suspek pada 28 Januari lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Mengulas mengenai siasatan dalaman Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap pegawai itu, Mohd Yusri berkata, polis Perak sudah merujuk kes berkenaan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

“Memang kita lihat baru-baru ini berlaku ketidakpatuhan integriti dalam kalangan pasukan polis. Saya jamin kes berkenaan disiasat secara telus dan adil, tambahalan lagi kes ini diambi alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini