comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seleweng kutipan zakat satu pengkhianatan kepada amanah diberikan – Naim

KUALA LUMPUR: Penyelewengan kutipan zakat oleh pihak bertanggungjawab adalah suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan, jika ia benar-benar berlaku.

Kekecewaan itu diluahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar susulan dakwaan penyelewengan kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta oleh sebuah ejen kutipan zakat yang dilantik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Beliau berkata, perkara seperti itu sekiranya ia terbukti berlaku, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana membabitkan agensi yang dipertanggungjawabkan mengutip dan mengagihkan wang zakat.

Atas dasar itu, katanya, pihaknya berharap siasatan terperinci dapat dijalankan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan penyelewengan berkenaan.

“Agak sedih sekiranya ada dalam kalangan kita yang mengambil peluang menyeleweng.

“Ia satu perbuatan yang tidak boleh diterima kerana ia pengkhianatan kepada amanah diberikan,” katanya melalui video yang dikongsi di Facebook miliknya, hari ini.

Mohd Na’im berkata, dakwaan berhubung penyelewengan terbabit kini sudah berada dalam siasatan polis.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak diminta memberikan ruang kepada polis untuk menyiasat dakwaan terbabit.

“Saya baru dimaklumkan mengenai siasatan polis dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan wang zakat itu dan kita mengharapkan satu siasatan terperinci akan dijalankan.

“Saya juga harap kita semua mengambil pendekatan menunggu dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini