comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket Edar Dadah Ke Luar Negara Guna Khidmat Kurier Tumpas

Oleh Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM700,000.00 selepas tertumpasnya sebuah sindiket pengedaran yang menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar barang terlarang itu ke luar negara.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Mohd Radzi Ahmad berkata enam suspek termasuk pasangan kekasih dan dua warga emas ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah SPU dalam siri serbuan pada 4 Ogos lalu.

“Suspek utama iaitu lelaki berusia 36 tahun dan teman wanitanya, 32, ditahan dalam serbuan pertama di hadapan sebuah premis di Bayan Lepas pada jam 2.30 petang dan sejumlah dadah turut dirampas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, petang tadi.

Ia disusuli serbuan di sebuah rumah di Taman Bagan, Butterworth yang membawa kepada tangkapan empat lagi suspek, iaitu dua lelaki dan dua wanita termasuk pasangan warga emas dipercayai ibu bapa kepada suspek utama.

Dua lagi serbuan turut dilakukan di sebuah syarikat kurier di Bayan Lepas dan sebuah rumah di Butterworth pada hari yang sama.

Serbuan di empat lokasi berkenaan menjumpai dadah jenis syabu seberat 392 gram dan serbuk MDMA seberat 13.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM694,412.00.

Sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak Jun lalu dan telah membuat beberapa penghantaran dadah ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier sebelum dikesan pihak berkuasa.

Ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun seorang lagi memiliki tiga rekod jenayah.

Empat individu terbabit ditahan reman selama 5 hari sehingga 9 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini