comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket judi dalam talian tumpas, 12 ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan 12 individu hasil serbuan di dua premis di ibu negara yang dijadikan pusat panggilan oleh sindiket mempromosi judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata sindiket berkenaan menyasarkan mangsa dari Bangladesh.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata serbuan dilakukan sepasukan polis dari IPD Brickfields bersama Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Hasil serbuan enam lelaki warga tempatan dan enam lelaki warga asing diberkas.

Kesemua suspek berperanan sebagai penyelia dan pegawai khidmat pelanggan.

Polis turut merampas empat buah komputer, lima komputer riba, 19 unit telefon bimbit, tiga passport, dua modem router dan satu kad akses serta kunci.

Siasatan awal menunjukkan sindiket mempromosikan perjudian dalam talian menerusi laman sesawang.

Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan tawaran di media sosial yang tidak jelas dan menjanjikan pulangan wang yang lumayan.

Loading...
Terkini