comscore
Tumpuan :
Nasional

Rokok, tembakau bernilai lebih RM4.1 juta dirampas – ESSCOM

FOTO: Ihsan ESSCOM

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merampas rokok putih, kretek dan tembakau bernilai RM4.1 juta dalam serbuan di sebuah bangunan dua tingkat di Jalan Tamoi Baru, di sini, semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, serbuan berkenaan dijalankan pasukan khas ESSCOM hasil daripada maklumat awam membabitkan penyeludupan rokok.

“Rampasan membabitkan sebanyak 3,178,120 batang pelbagai jenis rokok putih dan kretek serta 400 bungkusan kecil tembakau dengan nilai anggaran selepas cukai berjumlah RM4,137,474.

“Antara jenama rokok yang dirampas seperti Astro Merah, Hijau, Samson Mild, Samson Menthol, Era Premium, Era Black dan Tembakau Salak yang disembunyikan sama ada di dalam kotak atau plastik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Victor berkata, kejayaan ini mencerminkan komitmen dan jaminan ESSCOM dalam mengurangkan Jenayah Rentas Sempadan (JRS).

“Saya ingin menekankan bahawa ESSCOM sentiasa memantau dan akan terus memperhebatkan operasi-operasi khas seperti ini khususnya dalam menjejak anasir asing bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam khususnya di pantai Timur Sabah.

“Saya amat mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk melaporkan terus sebarang maklumat mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 01163311072,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ESSCOM juga akan terus memperhebat koordinasi operasi bersama-sama pasukan keselamatan yang lain bagi mengekang dan menangkap individu yang berniat jahat untuk mengganggu-gugat keamanan serta keselamatan negara.

“Selain itu, ESSCOM turut komited membantu pelbagai Agensi Penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dalam membanteras elemen JRS seperti aktiviti rompakan laut dan penyeludupan kontraban dengan mempergiat operasi secara bersepadu di kawasan daratan serta Perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini