comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sorok minyak masak untuk dijual pada warga asing 

Kamalludin (kanan) bersama anggota penguatkuasa KPDN Perak menemui 139 paket minyak masak 1kg bersubsidi yang disorok oleh peniaga warga asing di sebuah premis di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, di sini, kelmarin. – FOTO: Ihsan KPDN PERAK

TELUK INTAN: Kegiatan peniaga warga asing menyembunyikan minyak masak peket bersubsidi dan hanya menjualnya kepada warga asing lain, terbongkar selepas premis di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, di sini diserbu pihak berkuasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pada 2 petang kelmarin itu susulan aduan awam.

“Hasil Ops Samar mendapati peniaga memaklumkan bahawa stok minyak masak peket satu kilogram telah habis dan tidak menerima bekalan sejak seminggu yang lalu daripada pembekal.

“Curiga dengan jawapan peniaga itu, pegawai dan anggota penguat kuasa berpakaian seragam kemudian melakukan pemeriksaan, sebelum menemukan 139 peket minyak masak di dalam stor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamalludin berkata, arahan pengisytiharan stok mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 diserahkan kepada pemilik premis dan kesemua minyak masak bernilai RM347.50 disita.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPDN Perak turut melaksanakan Ops Pantau di sekitar Teluk Intan bertujuan memeriksa kedudukan stok bekalan barangan keperluan sebagai persediaan Hari Raya Aidilfitri, terutama membabitkan barang kawalan.

Menurutnya, secara keseluruhan, operasi berjaya menghasilkan lapan kes pelbagai kesalahan iaitu tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan lima kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Antara kesalahan, menjual barang kawalan melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan, selain kesalahan tidak meletakkan tanda harga pada makanan atau barangan yang dijual,” katanya.

KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit sindiket penyalahgunaan barang kawalan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini