comscore
Tumpuan :
Nasional

Ada pihak mungkin jual minyak masak paket subsidi sebagai minyak terpakai – KPDN

Foto hiasan

KANGAR: Kemungkinan ada pihak tertentu yang menjual minyak masak paket bersubsidi sebagai minyak masak terpakai sedang diteliti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh tidak menolak ruang untuk berlakunya penyelewengan mungkin wujud berikutan minyak masak paket bersubsidi kini dijual pada harga RM2.50 sekilogram, sedangkan harga minyak masak terpakai boleh mencecah sehingga RM3.80 sekilogram.

Bagaimanapun, setakat ini, katanya, tiada aduan diterima berkaitan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi yang dijual sebagai minyak masak terpakai.

“Kuota minyak masak kita untuk sebulan adalah 60,000 metrik tan dan jumlah ini sebenarnya mencukupi bagi golongan B40 dan sebahagian golongan M40 yang terdiri daripada 5.8 juta isi rumah yang layak dan memerlukan minyak masak bersubsidi ini.

“Keperluan di rumah lazimnya adalah sekitar 4.8 kilogram (kg) sahaja, tetapi keperluan peniaga mikro menggunakan purata 400 peket sebulan bagi perniagaan mereka yang membuka kafe dan kantin sekolah, selain penjual pisang goreng, keropok lekor mahupun penjual karipap.

“Jika dahulu, mereka ini mungkin menggunakan banyak kali minyak masak (yang sama), tetapi oleh kerana minyak masak terpakai pada hari ini harganya lebih kurang RM3 hingga RM3.80, maka ia tidak perlu dikitar pakai untuk banyak kali, tetapi ia dijual pula menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Berganda yang merangkumi Pesta Aiskrim Rahmah dan Jualan Rahmah Pasar Raya di perkarangan sebuah pasar raya di Kangar Jaya, hari ini.

Fuziah memberitahu, pihaknya melihat mekanisme menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi sebagai antara  langkah untuk mewujudkan ketelusan subsidi bersasar, supaya ia dapat dinikmati golongan sasar ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, ia juga mampu mengelakkan ketirisan minyak masak jenis itu daripada dipek semula dan dijual sebagai minyak masak terpakai.

Fuziah turut memaklumkan, pihaknya sedang melakukan audit di seluruh negara berkaitan kegunaan minyak masak paket bersubsidi.

“Audit ini dijangka selesai suku pertama tahun hadapan dan selepas itu, barulah akan ada syor mengenai bagaimana tindakan seterusnya (akan diambil) dan kita tunggulah laporan audit ini nanti,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini