comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM tahan empat pegawai penguat kuasa terima rasuah

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima suapan daripada pemilik sebuah syarikat sebagai balasan membantu urusan tuntutan pembayaran penyelenggaraan bot-bot milik sebuah jabatan kerajaan.

Sumber berkata, kesemua suspek lelaki yang berusia antara 42 hingga 59 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Dua suspek yang ditahan bertugas di Putrajaya manakala dua lagi suspek bertugas di sebuah daerah di Selangor.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan secara bulanan daripada pemilik syarikat tersebut yang dimasukkan ke akaun bank masing-masing dari tahun 2019 hingga 2023,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, jam 9 pagi esok.

Loading...
Terkini