comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM tahan pemilik syarikat kemuka butiran palsu

FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Seorang pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi tujuan memperdaya dan mendapatkan wang kira RM20,000 untuk pembekalan televisyen.

Menurut sumber, suspek sepatutnya membekalkan sebanyak enam unit televisyen 65 inci, namun hanya empat unit yang dibekalkan.

“Suspek mengemuka sebut harga dan pembekalan yang mengandungi butir matan palsu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan di Balik Pulau, di sini.

“Jumlah pembekalan yang tidak dilaksanakan sebanyak dua unit televisyen kira-kira RM5,600,” menurut sumber itu lagi.

Suspek lelaki yang berusia 30-an ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam di pejabat SPRM Pulau Pinang ketika diminta hadir bagi memberi keterangan.

Suspek yang juga seorang pemilik syarikat dipercayai melakukan kesalahan itu pada tahun 2023.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, suspek ditahan bagi tujuan rakaman pernyataan serta pengumpulan keterangan dan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM dalam tempoh 24 jam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini