comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM tahan lelaki disyaki subahat pindah milik tanah guna dokumen palsu

FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang disyaki bersubahat dengan pegawai sebuah jabatan kerajaan dalam urusan pindah milik tanah individu menggunakan dokumen palsu, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Sumber berkata, suspek berusia 40 tahun yang bekerja sendiri itu ditahan di pejabat SPRM Selangor di sini pada jam 1.55 tengah hari tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan.

“Kegiatan suspek terbongkar selepas waris pemilik tanah itu mengesahkan penama iaitu bapanya sudah meninggal dunia manakala tanah berkenaan tidak pernah dipindah milik kepada mana-mana pihak.

“Suspek dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai jabatan kerajaan daerah di Selangor bagi urusan pindah milik tanah kepunyaan individu yang sudah meninggal dunia kepada individu lain tanpa pengetahuan waris,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan.

Beliau berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor jam 9 pagi esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini